TERHIBUR MENYUSUR JALAN KENANGAN
Oleh
Hisham Hasim
PARA peminat bekas penyanyi Rusty Blade Yanzten terpegun dengan kemerduan suaranya apabila beliau 'membawa' mereka ke jalan kenangan dengan lagu-lagu hits zaman 80-an.
Bagi golongan lebih dewasa pula, sesetengahnya terus bangun menghayunkan badan mengikut irama lagu Siti Haida dendangan Jeffrydin.
Demikian gamatnya suasana di Kebun Bunga Singapura petang semalam dek konsert anjuran Majlis Penyelaras Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).
Konsert Gemersik Irama itu adalah sempena ulang tahun ke-20 Mesra, yang menampilkan acara utama iaitu persembahan Orkestra Melayu Singapura (OMS) pimpinan Mohd Jais Minsawi.
Melahirkan gembiranya dengan kehadiran sekitar 3,000 pengunjung, Pengerusi Mesra, Encik Mustaffa Abu Bakar, berkata:
'Lihatlah pengunjung yang datang dari pelbagai kaum di sini, termasuk juga para pelancong. Mereka datang bersama-sama dengan keluarga untuk bersantai dan berkelah di sini.
'Ini sekali gus dapat mengukuhkan tali kekeluargaan dan hubungan antara kaum.'
Konsert itu antara lain turut dijayakan juara Anugerah, Khairul Anuar, penyanyi mapan, Rahimah Rahim, kumpulan-kumpulan tarian Melayu Persatuan Rakyat (PA), kumpulan silat dan dikir barat.
Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Dr Yaacob Ibrahim, dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapura, Encik Zainudin Nordin, turut hadir.
Dr Yaacob yang juga penasihat Mesra, berkata bahawa konsert tersebut juga dapat menonjolkan peranan OMS sebagai salah satu nadi penggerak kebudayaan Melayu dan memberi peluang kepada pelbagai MAEC untuk bergabung dan menghasilkan sesuatu persembahan yang gah lagi menarik.